Wanita dan Bidadari

on Thursday, October 13, 2011

Photobucket Image Hosting
Bidadari dunia.. - Gambar sekadar hiasan.
Saya nak tahu juga pandangan dari kaum hawa berkenaan bidadari. Adakah pernah terdetik dihati anda berkenaan ganjaran untuk wanita di Syurga? Saya pernah terbaca berkenaan persoalan dari sebuah komuniti maya ini yang mahukan penjelasan berkenaan ganjaran bagi wanita yang masuk syurga. Bagi lelaki ganjaran yang paling popular disebut adalah bidadari-bidadari yang menjadi isteri mereka di syurga. Tetapi bagi wanita bagaimana? Persoalan itu telah pun dijawab dari pos saya yang lepas. Ia tidak perlu dipersoalkan kerana Allah itu Maha mengetahui dan Maha Adil. Wallahu A'lam.

Sebenarnya kita tak dapat bayangkan pun ganjaran, bentuk dan keadaan di syurga walaupun telah di bayangkan/diterangkan melalui hadis dan al-quran. Tidak sama sekali kerana bidadari syurga tidak akan muncul di dunia melainkan dengan kehendak Allah swt jua. Bayangan di dalam akal hanyalah ilusi ciptaan bahkan keadaan di syurga itu jauh lebih indah dari apa yang kita dapat bayangkan. Inilah rahsia. Contohnya digambarkan keadaan bentul fizikal bidadari - putihnya seperti marjan atau dari perkataan "benar-benar dapat melihat sumsum betis wanita itu" Dapatkah anda bayangkan keadaan yang sebenarnya?

Memang seronok bila bercakap berkenaan bidadari ni membuatkan hati seorang lelaki sangat-sangat mengharapkan dapat berjumpanya di syurga. Akan tetapi terdapat juga pemahaman-pemahaman yang mengelirukan kita. Perihal bidadari yang sebenarnya akan dihuraikan di bawah ini dan berharap kita tidak mengkhayalkan perkara-perkara yang silap dan mengelirukan :

WANITA DI DUNIA JIKA MASUK SYURGA MENJADI BIDADARI

Wanita dan bidadari adalah dua makhluk yang berbeza asal kejadian. Wanita yang pernah hidup di alam dunia adalah keturunan Adam dan Hawa sehingga disebut wanita bani Adam(wanita keturunan Adam), sementara bidadari bukan keturunan Adam dan Hawa. Bidadari diciptakan dari titisan hujan dari awan di bawah Arsy (dalam riwayat lain dari za’faran), sementara wanita bani Adam diciptakan dari tanah.

Berkata Abu Ahwash : Kami mendengar dalam suatu riwayat bahawasanya segumpal awan menurunkan hujan di bawah ‘Arsy. Maka dari titisan-titisan hujan itulah para bidadari itu diciptakan. Kemudian masing-masing ditempatkan dalam sebuah khemah di tepi sungai, luasnya 60 kilometer. Khemah itu dari mutiara berlubang ditengahnya, sehinggga ketika seorang wali Allah datang di khemah itu, ternyata khemah itu tidak punya satu pintu pun. Dengan demikian dia tahu bahwa mata makhluk apa pun yang melihat mereka, baik itu malaikat maupun para pelayan syurga tidak sampai mempengaruhi mereka. Bidadari-bidadari itu memang wanita-wanita yang dibatasi (maqshuuraat), yakni dibatasi pandangan mata mereka dari segala makluk, selain suami mereka.

Wanita Bani Adam menjalani proses dari janin, bayi, anak-anak, remaja, dewasa, dan tua. Ada yang sudah tiada keperawanannya, ada yang tetap perawan hingga ajalnya. Sementara Bidadari diciptakan langsung jadi gadis perawan dan terus gadis perawan.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung. Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh cinta lagi sebaya umurnya. (Kami ciptakan mereka) untuk golongan kanan, (iaitu) segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu. Dan segolongan besar pula dari orang-orang yang kemudian.” - Al-Quran Surah Al-Waaqi’ah 56 : 35-40)

Mungkin, yang menyebabkan kekeliruan pemahaman adalah wanita yang masuk syurga akan diubah bentuknya menjadi wanita muda dan selalu muda, usia 33 tahun, cantik, berkulit putih, perawan, penuh cinta, nafsu dan kekuatan 100 kali ganda, tidak haid dan tidak melahirkan (kecuali jika ingin punya anak),  tidak berhadas kecil, tidak berhingus dan berludah, tidak pernah tidur, tidak pernah sakit, tidak mati, dan menjadi isteri lelaki yang masuk syurga, sehingga disangka sama dengan bidadari.

PERUBAHAN UKURAN  TUBUH, WARNA KULIT, DAN USIA BANI ADAM

Imam Ahmad dan ath-Thabrani meriwayatkan dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, “Penghuni syurga masuk (ke sana) dalam keadaan masih muda, berkulit putih, berambut ikal, bercelak mata, sebaya dengan anak seusia 33 tahun, bentuk mereka seperti Adam, iaitu setinggi enam puluh hasta dengan lebar tujuh hasta.”

NENEK JADI GADIS KEMBALI

Abu Bakar bin Abi Syaibah meriwayatkan dari Aisyah ra bahawa Rasulullah  saw pernah didatangi seorang nenek dari kalangan Anshar. Maka nenek itu berkata, ”Ya Rasul Allah, doakan aku kepada Allah agar memasukkan aku ke syurga.”

Beliau menjawab, ”Sesungguhnya di syurga tidak dimasuki nenek(orang tua).”

Lalu Rasulullah saw pergi solat, kemudian pulang kepada Aisyah.

Aisyah mengadu, ”Nenek itu merasa sedih dan susah hati sekali mendengar perkataan dari mu tadi.”

Maka beliau bersabda, ”Sesungguhnya memang begitu. Sesungguhnya apabila Allah telah memasukkan perempuan tua ke dalam syurga, maka mereka diubah olehNya menjadi gadis kembali.”

NAFSU DAN KEKUATAN 100 KALI GANDA

Imam Ahmad meriwayatkan dari Zaid bin Arqam, dia bercerita: Ada seorang Yahudi datang kepada Nabi saw lalu berkata, “Hai Abul Qasim, bukankah kamu beranggapan penghuni syurga itu makan dan minum?”

(Sebelum itu Yahudi itu telah berkata kepada rakan-rakannya, “Kalau Muhammad mengiyakan pertanyaanku, maka aku akan berdebat dengannya.”)

Zaid berkata (melanjutkan ceritanya): Maka Rasululah saw menjawab, “Benar, demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesunguhnya tiap orang dari mereka benar-benar diberi kekuatan 100 orang dalam makan, minum, syahwat, dan hubungan seksual.”

Kata Zaid : maka Yahudi itu berkata, “Sesungguhnya orang yang makan dan minum mesti membuang hajat.”

Rasulullah saw bersabda, “Cara membuang hajat tiap dari orang dari mereka dengan mengeluarkan peluh yang keluar dari kulit, aroma harumnya seperti minyak kasturi. Dan tiba-tiba perut mereka menjadi kosong kembali.”

TIDAK TIDUR

Al-Hafizh Abu Bakar bin Mardawaih meriwayatkan dari Jabir ra, sabda Rasulullah saw, “Tidur adalah saudaranya mati. Dan sesungguhnya penghuni syurga itu tidak tidur.”

MENJADI ISTERI BANI ADAM YANG MASUK SYURGA

Rasulullah saw bersabda :

”Maka seorang lelaki penghuni syurga masuk ke sana menemui 72 orang isteri (bidadari) yang diciptakan Allah secara langsung dan dua orang isteri lainnya dari Bani Adam. Kedua wanita Bani Adam itu mendapat keutamaan atas lainnya yang dikehendaki Allah Ta’ala, kerana ibadah mereka kepada Allah semasa di dunia.

Lelaki itu menemui yang pertama dari kedua isterinya itu di sebuah kamar dari permata yaqut, di atas ranjang dari emas bertahtakan mutiara. Pada ranjang itu ada 70 tingkat sutera nipis dan sutera tebal. Dan sesungguhnya laki-laki itu benar-benar meletakkan tangannya di antara kedua pundak isterinya. Kemudian dia melihat tangannya itu dari dada isterinya di balik baju, daging, dan kulitnya. Dan sesungguhnya dia benar-benar dapat melihat sumsum betis wanita itu seperti salah seorang dari kamu sekalian melihat kawat perak dalam permata yaqut.

Ketika laki-laki itu dalam keadaan demikian, tiba-tiba terdengarlah suatu seruan: ”Sesungguhnya kami benar-benar tahu bahwa kamu tidak akan bosan atau membosankan. Tapi ketahuilah, sesungguhnya kamu mempunyai isteri-isteri yang lain.”

Maka dia pun keluar, lalu mendatangi isteri-isterinya satu persatu. Setiap kali tiba pada salah seorang dari mereka, maka dia disambut dengan kata-kata, ”Demi Allah, di syurga ini tidak ada makhluk yang lebih elok darimu, dan di syurga ini tidak ada makhluk yang lebih aku cintai selain kamu.”

ISTERI YANG TIDAK HAID, NIFAS, BERHADAS, BERHINGUS DAN BERLUDAH

Wanita bani Adam yang masuk syurga tetaplah wanita Bani Adam. Hanya sahaja sudah berubah bentuk menjadi lebih sempurna dibanding ketika hidup di dunia. Perubahan bentuk tersebut adalah kurniaan Allah agar wanita bani Adam boleh menikmati kenikmatan syurga dengan kepuasan yang selalu meningkat.

Allah SWT berfirman:

“Hai hamba-hambaKu, tiada kekhuatiran terhadapmu pada hari ini dan tidak pula kamu bersedih hati. (iaitu) orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami dan adalah mereka dahulu orang-orang yang berserah diri. Masuklah kamu ke dalam syurga, kamu dan isteri-isteri kamu digembirakan.” Diberikan kepada mereka piring-piring dari emas, dan piala-piala dan di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya.” Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan.” - Al Quran Surah Az-Zukhruf  43 : 68-72)

Dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id , dari Nabi saw bercerita,

“Maka terdengarlah seruan, ‘Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap hidup, tanpa mengalami mati selama-lamanya. Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap sihat, tanpa mengalami sakit selama-lamanya. Sesungguhnya kamu sekelian akan tetap muda, tanpa mengalami tua selama-lamanya. Dan sesungguhnya kamu sekalian akan tetap nikmat, tanpa mengalami penderitaan selama-lamanya.’ Nabi bersabda, “Empat perkara inilah yang diserukan.” Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim

Allah SWT berfirman:

“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipelihara dalam khemah-khemah.” - Al Quran Surah Ar-Rahmaan 55 : 70-72

Bidadari tidak berinteraksi dengan siapa pun. Mereka tersimpan dan tidak tersentuh tangan makhluk apapun, kecuali oleh suami mereka nanti.

Allah SWT berfirman:

“Tetapi hamba-hamba Allah yang dibersihkan (dari dosa). Mereka itu memperoleh rezeki yang tertentu, iaitu buah-buahan. Dan mereka adalah orang-orang yang dimuliakan. Di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat. Di atas takhta-takhta kebesaran berhadap-hadapan. Diberikan kepada mereka gelas yang berisi khamar dari sungai yang mengalir. (Warnanya) putih bersih, sedap rasanya bagi orang-orang yang minum. Tidak ada dalam khamar itu alkohol dan mereka tiada mabuk kerananya. Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jelita matanya. Seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik.” - Al Quran Surah Ash Shaaffaat 37 : 40-49

“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” - Al Quran Surah Ar-Rahmaan 55 : 56-57

Tugas mereka adalah menunggu kedatangan suami mereka iaitu laki-laki bani Adam yang akan masuk syurga. Mereka bernyanyi.

Dari Ali bin Abi Thalib kw. bahawasannya Rasulullah saw bersabda,

"Dalam syurga ada tempat pertemuan para bidadari. (Di sana) mereka bernyanyi dengan suara-suara yang tidak pernah didengar oleh makhluk apapun. Mereka melantunkan (lirik-lirik lagu): 'Kami wanita alam baka, takkan binasa selamanya. Kami wanita ceria, tak kenal susah selamanya, Kami wanita yang rela, tak kenal murka selamanya. Bahagialah lelaki yang menjadi milik kami. (Bahagialah manusia), yang kami milik dia.” (Hadits Shahih Riwayat at-Tirmidzi)

Setelah lelaki bani Adam masuk syurga, para bidadari tersebut dinikahkan oleh Allah dengan laki-laki tersebut.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan. Mereka bersuka ria dengan apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka; dan Tuhan mereka memelihara mereka dari azab neraka. (Dikatakan kepada mereka): “Makan dan minumlah dengan enak sebagai balasan dari apa yang telah kamu kerjakan”. Mereka bersandar di atas dipelamin-pelamin yang tersusun dan Kami kahwinkan mereka dengan bidadari-bidadari yang cantik bermata indah.” - Al Quran Surah Ath Thuur 52 : 17-20

Setelah dinikahkan dengan laki-laki bani Adam, bidadari kemudian melayani hubungan seksual. Kemampuan seksual bidadari membuat lelaki sibuk merasakan kenikmatan seksual yang tiada taranya, yang semakin nikmat dan semakin nikmat.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka). Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, bersandar di atas dipan-dipan(pelamin).” - Al Quran Surah Yaasiin 36 : 55-56

Ath-Thabrani meriwayatkan dari Abu Hurairah ra, pernah ditanyakan , ‘Ya Rasulullah, apakah orang lelaki melakukan persetubuhan di syurga?’ – dan menurut riwayat lain, ‘Apakah kita menyetubuhi isteri-isteri kita?’–  Rasul menjawab, ‘Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya seorang lelaki dalam satu pagi benar-benar menyetubuhi seratus perawan.” Hadith Riwayat al-Bazzar, al-Qurthubi, dan Ibnu Majah

Allah SWT berfirman:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah kemenangan yang agung.” - Al Quran Surah At-Taubah 9 : 71-72

Rasulullah saw bahkan menyampaikan bahawa wanita bani Adam lebih utama dibanding bidadari. Ada sebuah hadith yang cukup panjang dari Ummu Salamah.

Ath-Thabrani meriwayatkan dari Ummu Salamah ra, dia berkata,

Saya berkata, ”Ya Rasulullah, beritahu saya mana yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari?”

Baginda bersabda, ”Wanita dunia lebih utama daripada bidadari, seperti utamanya zahir atas batin.”

Saya bertanya, “Ya Rasulullah, kerana sebab apa?”

Baginda menjawab, ”Kerana solat, puasa, dan ibadah mereka kepada Allah. Allah memberi cahaya pada wajah mereka, dan mengenakan sutera pada tubuh mereka. Warna kulit mereka putih, pakaian mereka hijau, perhiasan mereka kuning, pedupaan mereka mutiara, dan sikat mereka emas. Mereka berkata, "Kami adalah wanita-wanita abadi, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita bahagia, tidak akan miskin selama-lamanya. Kami adalah wanita-wanita penduduk tetap, tidak akan pindah selama-lamanya. Dan ketahuilah, kami adalah wanita-wanita yang telah redha, tidak akan marah selama-lamanya. Berbahagialah orang yang menjadi milik kami, dan kami menjadi miliknya.”

NIKAH DENGAN BIDADARI

Rasulullah saw bersabda, ”Andaikan ada seorang wanita penghuni syurga mengintip ke bumi, nescaya dia menerangi ruang antara bumi dan langit, dan nescaya harumannya memenuhi ruang antara keduanya. Dan sesungguhnya tudung di atas kepalanya lebih baik daripada dunia seisinya.” Hadith Riwayat Bukhari

Namun bidadari itu dinikahkan di syurga yang terletak di atas langit dunia. Bidadari dinikahkan oleh Allah, bukan oleh wali nikah yang hanya seorang manusia.

ADA BIDADARI TURUN DARI KAYANGAN

Ini adalah khayalan semata-mata. Pelangi dikhayalkan sebagai jambatan para bidadari yang turun ke bumi untuk mandi di sebuah telaga. Cerita yang sengaja direka-reka

Khayalan ini jelas bertentangan dengan aqidah Islam. Kerana bidadari tidak akan keluar dari syurga. Tidak ada bidadari yang mandi ke bumi. Hadith di atas pun menggunakan kata “andaikan” sekadar untuk memberi gambaran bagaimana cahaya dan haruman bidadari. Ertinya tidak ada bidadari turun ke bumi, apatah lagi memperlihatkan aurat untuk mandi di telaga sebagaimana banyak digambarkan di lukisan-lukisan.

BIDADARI BERSAYAP

Tidak ada khabar dari Allah dan RasulNya bahawa bidadari bersayap. Adapun yang bersayap adalah malaikat. Itupun bentuk dan bahan sayap para malaikat pun termasuk dlam perkara yang ghaib tidak dapat boleh digambarkan, apakah seperti sayap burung, sayap pepatung, sayap lebah, atau lainnya, wallaahu a’lam.

Oleh kerana itu ketika ada Sinetron dari Indonesia atau dimana sahaja filem bertajuk dengan contoh “Bidadari” yang menggambarkan bidadari yang bersayap dan jalan-jalan ke dunia menolong manusia, tentu hal itu akan merosakkan aqidah umat. Adapun yang bersayap dan menolong manusia adalah malaikat. Itu pun manusia tidak akan boleh bercakap-cakap dengan malaikat.

CANTIK SEPERTI BIDADARI

Ath-Thabrani meriwayatkan dari Ummu Salamah ra, dia berkata,

Saya pernah bertanya, "Ya Rasulullah, beritahu saya tentang mereka yang diceritakan Allah Ta’ala dalam firmanNya, ”Dan (dalam syurga) ada bidadari-bidadari yang bermata indah.” - Al Quran Surah al-Waqi’ah : 22.

Baginda bersabda, "(mereka adalah) bidadari-bidadari yang bermata indah. Pelupuk mata bidadari-bidadari itu (selalu berkedip-kedip) bagaikan sayap burung nasar.”

Saya berkata, "Beritahu saya tentang firmanNya, "Laksana mutiara yang tersimpan dengan baik.” - Al Quran Surah al-Waqi’ah  : 23.

Beliau bersabda, "(Mereka berkulit) jernih sejernih mutiara yang tersimpan dalam cengkerangnya, yang belum tersentuh tangan-tangan (manusia).”

Saya berkata, "Ya Rasulullah, beritahu saya tentang firmanNya "Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik lagi cantik jelita.” - Al Quran Surah ar-Rahman : 70

Baginda bersabda, "(Mereka) baik akhlaknya, cantik jelita wajahnya.”

Saya berkata, "Ya Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya, "Seolah-olah mereka adalah telur yang tersimpan dengan baik.” -Al Quran Surah ash-Shaffat : 49

Baginda bersabda, "Kelembutan mereka selembut selaput dalam telur yang ada di balik kulitnya, iaitu kulit ari yang lekat pada putih telur.”

Yang boleh menandingi bahkan melampaui bidadari hanyalah wanita bani Adam yang masuk syurga. Semoga itu adalah anda pembaca blog hadith sahih muslim

Jika ada kesilapan dan kesalahan sila beritahu saya. Terima kasih sesungguhnya ia langsung tidak disengajakan.

Balasan untuk wanita yang masuk Syurga

on Tuesday, October 11, 2011

Photobucket Image Hosting
Dorongan dan kecenderungan bagi lelaki adalah sukakan wanita. Oleh kerana itu balasannya adalah bidadari. Perhiasan bagi lelaki adalah wanita manakala perhiasan bagi wanita adalah permata. Wanita akan dapat suaminya semula bersama apa yang dimahukannya di dunia. Rumusannya, kita akan dapat apa yang kita mahu di Syurga. Apa yang haram akan jadi halal di syurga. Jika seorang wanita yang belum berkahwin akan mendapat teman atau pasangannya di syurga kelak. Usah dibimbangkan lagi. Matlamat kita seterusnya adalah untuk mendapatkan syurga Allah SWT.

Teruskan membaca lagi petikan dari hadis di bawah...

Keadaan wanita di dunia ini tidaklah lebih dari :
  • Mereka meninggal sebelum sempat menikah.
  • Mereka meninggal setelah diceraikan suaminya, dan belum sempat menikah dengan yang lain.
  • Mereka telah menikah, akan tetapi suaminya tidak bersamanya di syurga, semoga Allah SWT melindungi kita dari hal ini.
  • Mereka meninggal setelah suaminya meninggal.
  • Suaminya meninggal dan mereka tetap tidak bersuami baru hingga meninggalnya.
  • Suaminya meninggal kemudian merekapun dinikahi oleh laki-laki lain.

Kelak masing-masing akan mempunyai balasan tersendiri saat mereka di syurga sebagai berikut:
Wanita yang meninggal sebelum sempat menikah, maka Allah SWT akan menikahkan mereka di syurga dengan seorang laki-laki dari penduduk dunia, ini berdasarkan sabda Rasulullah saw :

“Di syurga tidaklah ada orang yang membujang (tidak memiliki pasangan.”- Hadith Riwayat Muslim.

Syeikh Ibn ‘Utsaimin berkata: “Apabila seseorang belum menikah, iaitu seorang wanita di dunia ini, maka sesungguhnya Allah SWT akan menikahkan dengan laki-laki yang ia sukai di syurga. Kerana kenikmatan syurga tidaklah hanya khusus untuk lelaki saja, akan tetapi semuanya adalah juga untuk lelaki dan wanita termasuk bentuk kenikmatan syurga adalah perkahwinan.”- Al-Majmu’ al-Tsamin, 1/175.

Dan juga seperti mereka yang meninggal setelah diceraikan, wanita yang suaminya tidak masuk syurga.

Syeikh Ibn ‘Utsaimin berkata: “Seorang apabila termasuk ahli syurga dan belum menikah atau suaminya tidak termasuk ahli syurga, maka sesungguhnya bila ia masuk syurga, di sana akan ada lelaki ahli syurga yang akan memperisterikannya.” -Al-Majmu’ al-Tsamin, 1/173 Maksudnya akan menikah dengan salah seorang dari mereka.

Wanita yang meninggal setelah sempat menikah, maka saat di syurga ia untuk suaminya yang dahulu.

Wanita yang suaminya meninggal kemudian tetap tidak menikah setelah kematian suaminya hingga ia pun meninggal, maka ia akan tetap menjadi isterinya di syurga.

Wanita yang suaminya meninggal dan kemudian menikah dengan lelaki lain, maka ia untuk suami yang paling terakhir, walaupun sempat menikah berkali-kali, berdasarkan sabda Rasulullah saw :

“Wanita adalah untuk suami terakhirnya.” - Silsilah al-Ahadits al-Shahihah li al-Albani, 1281.

Dan berdasarkan perkataan Hudzaifah ra. kepada isterinya : “Jika kamu tetap ingin menjadi isteriku di syurga, maka janganlah menikah dengan siapapun sepeninggalanku (selepas ia meninggal). Sesungguhnya wanita saat di syurga adalah untuk suami terakhirnya di duania kerana itulah Allah SWT pun mengharamkan isteri-isteri Nabi untuk dinikahi oleh orang lain sepeninggalannya, kerana mereka itu kelak akan menjadi isteri-isterinya di syurga.” - Silsilah al-Ahadits al-Shahihah li al-Albani, 1281.

Petanyaan : Bila ada yang berkata : Sesungguhnya tersebut dalam doa jenazah kita membaca:
“Dan gantikanlah (untuknya) suami yang lebih baik dari suaminya (yang terdahulu).” - Hadith Riwayat Muslim.

Maka jika ia telah bersuami, bagaimana kita mendoakan untuknya dengan doa seperti itu dan kita mengetahui bahawa suami di dunia akan menjadi suami di syurga, akan tetapi bila ia belum mempunyai suami dimanakah suaminya?
Jawaban : Adalah seperti yang disebutkan oleh Syeikh Ibn ‘Utsaimin iaitu : “Jika dia belum menikah, maka yang dimaksud adalah suami yang lebih baik dari suami yang ditakdirkan untuknya jika dia tetap hidup. 

Dalil dari Al-Quran...
Contoh : Yaasin 36:55 - Yaasin Surah 36 ayat ke 55

Adapun jika dia sudah menikah, maka yang dimaksud dengan suami yang lebih baik adalah yang lebih baik sifat-sifatnya di dunia, kerana yang disebut dengan menggantikan adalah boleh dengan menggantikan orangnya seperti bila kita menukar kambing dengan unta, atau boleh dengan menggantikan sifat-sifatnya seperti apabila kita berkata: Semoga Allah menggantikan kekufuran orang itu dengan keimanan, atau seperti pada firman Allah SWT:

(Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit,… - Al Quran Surah Ibrahim ayat ke 48. 

Dimana buminya adalah tetap bumi ini akan tetapi diratakan dan langitnya adalah tetap langit ini akan tetapi terbelah.” - Al-Bab al-Maftuh, 3/23-24.

Sungguh tidak disangsikan lagi bahwa kenikmatan-kenikmatan syurga adalah untuk kedua jenis kelamin, lelaki dan perempuan, sebagaimana yang diberitakan oleh Allah sendiri dalam kitabNya. Jadi tidak hanya lelaki, tetapi wanita juga punyai bahagian di syurga. 

Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal diantara kamu, baik lelaki mahupun perempuan. - Al Quran Surah Ali-Imran 3:195

Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. - Al-Quran Surah An-Nahl 16:97

Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik lelaki mahupun wanita, sedang dia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya sedikitpun. - Al-Quran Surah An-Nisa' 4:124

Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyu', lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. - Al-Quran Surah Al-Ahzab 33:35

Selanjutnya, Allah (swt) menyebutkan dalam kitabNya bahawa isteri-isteri yang solehah akan masuk syurga bersama suami mereka yang soleh. Dan wanita-wanita solehah yang beriman masuk syurga sebagaimana lelaki soleh yang beriman memasukinya.
 
Masuklah kamu ke dalam syurga, kamu dan isteri-isteri kamu digembirakan. - Al-Quran Surah Az-Zukhruf 43:70

Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukannya masing-masing (mengikut apa yang mereka gemar). Mereka dpasangan-pasangannya berada di tempat yang teduh, bersandar di atas dipan-dipan (pelamin). -Al-Quran Surah Yaasin 36:55-56

Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan : 'Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu.' Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada jodoh (pasangan) yang suci dan mereka kekal di dalamnya. -Al-Quran Surah Al Baqarah 2:25

Dengan rahmatNya, Allah SWT mengulangi penciptaan wanita-wanita (termasuk mereka yang meninggal dunia dalam keadaan tua) dan menjadikan mereka perawan kembali. Dengan kata lain, siapa sahaja dari calon ahli syurga yang sudah tua, kelak dia akan kembali muda di syurga. Berghairah dan penuh dengan cinta.
Sesungguhnya Kami menciptakan mereka dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya. -Al-Quran Surah Al-Waqi'ah 56:35-37

Dari Abu Hurairah r.a sebuah hadith qudsi dari Rasulullah SAW yang membawa maksud, "Telah Aku (Allah) sediakan untuk seluruh hambaKu yang soleh suatu balasan (syurga) yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam hati seseorang pun." - Hadith Riwayat Bukhari.

Dan demi keadilanNya, Allah pasti memberi wanita-wanita solehah di syurga dengan nikmat-nikmat yang lelaki soleh menikmatinya (dari para bidadari atau yang seumpama dengan itu). Dan kalau saja kita katakan bahawa seorang wanita dapat menikmati balasan syurga sebagaimana lelaki menikmatinya, barangkali hal itu masih terjangkau oleh daya imaginasi kita. Padahal, nikmat syurga yang dijanjikan Allah SWT bukanlah yang pernah terlihat oleh mata, bukan yang pernah terdengar oleh telinga dan bukan yang pernah terlintas dalam hati manusia. 

Jika seorang wanita pernah menikah beberapa kali, sedangkan dia termasuk seorang ahli syurga, maka dia diberi hak untuk memilih salah satu diantara mereka. Dan dengan cara yang belum dapat kita bayangkan pada hari ini, dia akan memilih suaminya yang paling baik dan yang paling bagus diantara mereka. Dia akan berterusan dalam keadaan merasakan nikmat yang semakin bertambah-tambah. Sungguh, tidak seorang pun pada hari ini yang akan mampu membayangkan kenikmatan-kenikmatan itu. 

Adapun jika seorang wanita belum pernah menikah selama hidupnya di dunia (kerana suatu alasan yang dibenarkan agama), sedangkan dia termasuk seorang ahli syurga, maka dia diberi hak untuk memilih salah satu dari lelaki ahli syurga, yang akan memberinya nikmat yang tak terbatas, yang berterusan dan yang semakin bertambah-tambah. Dan sungguh, tidak seorang pun pada hari ini yang mampu membayangkan kenikmatan itu. Sesungguhnya balasan nikmat-nikmat di syurga akan senantiasa hadir kepada para penghuninya sebagai kejutan yang berterusan selama-selamanya. Segala puji bagi Allah...




Kekeliruan : Kenapa WANITA ramai masuk NERAKA?

on Saturday, October 8, 2011

Photobucket Image Hosting
Ke Syurga BUKAN dengan Jantina

“Kamu mahu bercinta dengan seorang Muslim?” ibu Jane menyoal anaknya.

Jane hanya mendiamkan diri.

“Kamu tahu kamu itu lebih mungkin menjadi ahli Neraka. Itu nilai perempuan di dalam agama Syamil (Islam)!” tambah si ibu lagi.

Jane tertekan.

Beliau mengatur pertemuan dengan saya untuk bertanyakan hal ini.

“Benarkah ada hadith yang menyebut bahawa perempuan lebih ramai di Neraka?” tanya Jane. Jujur mahu tahu.

Permintaan Jane itu saya bawakan kepada menelusi sebuah hadith di dalam Sahih al-Bukhari, hadith ke-29:

    “Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “Ĺ“mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”

Hadith ini ditempatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Kitab al-Iman di bawah suatu bab yang diberi tajuk “Bab Kufur Kepada Suami, dan Kufur Yang Bukan Kufur.

“Hadith ini sering disalah anggap. Ia dijadikan hujah oleh golongan yang skeptik dengan Islam, bahawa Islam merendahkan taraf wanita,” saya memulakan penjelasan.

“Tetapi Muslim pun ramai yang percaya begitu!” kata Jane.

“Benar. Muslim yang terlupa bahawa asas agamanya adalah ilmu dan kefahaman. Mereka  menjadi tukang angguk kepada Islamophobia!” saya berpandangan.

Sama seperti mereka mengambil firman Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam surah at-Taubah ayat 36 sebagai dalil bahawa Islam menyuruh umatnya membunuh semua non-Muslim di dalam semua keadaan. Walhal ayat itu adalah kaedah khusus di dalam medan peperangan. Tetapi sifat buruk di dalam hati, sengaja menjadikan nas tersebut sebagai punca fitnah dan salah faham bahawa sikap Islam terhadap non-Muslim adalah berperang habis-habisan!

“Hadith berkenaan bercakap tentang kecenderungan sikap kaum wanita. Sabdaan itu menyuluh tabiat wanita yang mudah terjerumus kepada perbuatan mengingkari kebaikan dan Ihsan suaminya, hanya disebabkan oleh satu kekurangan. Perbuatan ini dikaitkan dengan kufur kerana di dalam hadith yang lain, perintah agar wanita menghormati suami digambarkan beriringan dengan perintah sujud kepada Allah,” saya menyambung perbualan.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

    “Kalaulah aku dibenarkan memerintah seseorang sujud kepada seorang yang lain, nescaya akan kuperintahkan perempuan sujud kepada suaminya“ [riwayat at-Tirmidhi dan lain-lain]

Dalam erti kata yang lain, hak suami ke atas isteri dipadankan dengan hak Allah. Kerana itulah, mengingkari hak suami, diistilahkan sebagai kufur. Namun, kufur ini bukanlah kufur yang membatalkan iman. Bahkan ia termasuk di dalam kufur “kecil” yang bersifat menafikan nikmat.

Perkaitan hadith ini dengan wanita adalah kaedah al-Quran dan as-Sunnah yang mewatakkan perilaku sesuatu perbuatan dengan pelakunya yang lazim. Misalnya di dalam surah an-Maidah ayat 39, Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut tentang hukum hudud ke atas pesalah kes curi dengan firman-Nya:

    “Dan pencuri lelaki serta pencuri perempuan hendaklah dipotong tangan-tangan mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka lakukan, (dan hukuman itu bertindak sebagai) cegahan dari Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Bijaksana”

Manakala di dalam kes zina, Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut di dalam surah an-Noor ayat 2:

“Penzina perempuan dan lelaki hendaklah disebat setiap seorang mereka itu dengan 100 sebatan”

Mendahulukan penjenayah wanita atau lelaki di dalam kes salah laku mereka disebut di dalam kedua-dua ayat tadi mengikut kelaziman yang biasanya ditemui dalam masyarakat. Amat kerap kecurian itu didalangi oleh penjenayah lelaki dan amat sering zina itu bermula dari seorang perempuan. Namun yang difokuskan di dalam ayat itu adalah kedua-duanya beroleh hukuman yang sama.

Maka hadith Rasulullah SAW tentang wanita itu tadi, menyebut bahawa wanita akan masuk ke neraka seandainya mereka mencela suami dan mengingkari kebaikan suami kepadanya, bukannya kerana wanita itu wanita. Maka di manakah letaknya aspek penindasan di dalam kenyataan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu? Sedangkan apa yang kelihatan adalah ketulusan Islam di dalam mendidik pengikutnya agar telus membuat muhasabah terhadap salah laku diri. Buruk tingkah laku, buruklah akibatnya. Elok tingkah laku, baiklah kesudahannya. Maka soal iman dan amal itu yang disuluh, bukannya jantina.

Allah Subhanahu wa Ta’aala telah pun bertegas di dalam al-Quran:

    “Sesungguhnya orang lelaki dan perempuan yang Islam, orang lelaki dan perempuan yang beriman, orang lelaki dan perempuan yang taat, orang lelaki dan perempuan yang benar, orang lelaki dan perempuan yang sabar, orang lelaki dan perempuan yang merendahkan dirinya (kepada Allah), orang lelaki dan perempuan yang bersedekah, orang lelaki dan perempuan yang berpuasa, orang lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatan dirinya serta orang lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, maka Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang agung” [Al-Ahzab 33: 36]

Ayat ini turun sebagai wahyu dan menjadi prinsip Islam di zaman wanita menjadi sampah di Eropah. Islam memuliakan wanita dengan jaminan Allah dan undang-undangNya. Ia telah terpahat lebih seribu tahun sebelum wanita di England berjaya beroleh hak berjual beli dan memiliki harta sendiri bahkan lebih seribu tahun sebelum wanita di India terselamat dari dibakar bersama suaminya yang mati.

Sesungguhnya isu penindasan kaum wanita bukan isu umat Islam. Ia adalah isu masyarakat Timur dan Barat yang zaman berzaman meletakkan wanita di gelanggang yang zalim. Di zaman purba mereka melihat wanita dengan jijik dan keji manakala di zaman moden hari ini, mereka menjadikan wanita hanya sebagai bahan iklan melakukan produk. Dulu mereka memandang keji kepada wanita, hari ini mereka menghina taraf wanita. Itulah status wanita pada masyarakat yang jauh dari hidayah Allah. Sewajarnya mereka terpaksa bermati-matian untuk beroleh satu bahagian sosial.

Namun Islam adalah agama emansipasi wanita dari status sedemikian rupa. Jika ada penindasan terpencil seperti budaya kahwin paksa ke atas wanita di sesetengah negara umat Islam, atau khitan wanita yang kejam seperti di Sudan, ia adalah perilaku yang berpunca dari adat yang menyalahi Islam. Bukan prinsip Islam yang mengajar wanita dilayan begitu.

“Demi Allah, dengan rahmat dan pilihanNya, lelaki dan perempuan akan masuk ke syurga berdasarkan iman dan amal mereka, bukannya dengan jantina. Bukan juga dengan hanya bersenang lenang dengan status Islam mereka!” saya menyudahkan perbualan.

“Sukarnya dibezakan antara Islam sebenar dengan Islam yang bercampur aduk dengan adat pengikutnya” simpul Jane.

“Kita ada rujukan. Itu kemuktamadannya” saya tersenyum.

Mahu Jane pulang dengan keyakinan.


Kredit untuk saifulislam.com